May be an image of outdoors

Hari ke-8 Perang Ukraine-Russia
Oleh: Luqman Hakim

Kiev, Kharkiv, Mariupol.

3 nama ini merupakan bandar-bandar utama yang menjadi duri dalam tempo operasi kententeraan Rusia di bumi Ukraine.

Kiev, ibukota Ukraine, dan segala pentadbiran kerajaannya, merupakan objektif utama kali ini. Kharkiv merupakan satu bandar besar di sebelah timur Ukraine, dan Mariupol adalah bandar di tepi Laut Hitam, di arah selatan.

Kita mulakan dengan Mariupol. Rusia menakluk wilayah Crimea, beserta dengan wilayah Donbass, Donetsk People Republic (DPR) dan Luhansk People Republic (LPR). 2 nama ini akan memainkan peranan besar menjayakan operasi di bahagian selatan dan akan diulas di bawah.

 

Hidup Segan Mati Tak Mahu, Operasi Di Selatan Ukraine

Tentera Laut Ukraine sangatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan Tentera Laut Rusia, dan memandangkan hanya Mariupol tinggal sebagai bandar menghadap ke arah laut. Perang 2014, dan juga kekangan aset serta fokus pemimpin tinggi Ukraine terhadap pertahanan darat menyebabkan ianya terus mundur berbanding dengan kuantiti kapal yang dimiliki oleh lawannya, Rusia.

Dari 2014, kelompok tentera Ukraine telah bertempur secara berterusan di sepanjang kawasan selatan. Perang yang berterusan ini menyebabkan askar Ukraine, dan juga askar DPR dan LPR mahir dengan operasi ketenteraan, tempo, taktik, dan sebagainya. Perlu diingatkan bahawa DPR dan LPR walaupun sebuah wilayah, mereka mempunyai askar mereka sendiri, tidak bercampur dengan Tentera Darat Rusia.

Sepanjang 8 hari konflik ini berlaku, tentera dari DPR dan LPR yang paling menonjol menunjukkan kejayaannya dalam melakukan kemaraan kedalam Ukraine. Mereka berjaya menangkap sebilangan besar stok pelancar NLAW yang masih belum digunakan, serta depot-depot senjata serta kereta perisai Ukraine.

Crimea, sebuah muka bumi semenanjung, terpisah secara darat daripada kawasan pengaruh Rusia, hanya boleh dilalui daripada laut untuk Rusia, Tentera Laut Rusia mula menurunkan tentera marin mereka.

Objektifnya mudah, kepung Mariupol dari kiri. Kepungan dari kanan akan dilaksanakan oleh askar dari DPR/LPR.

Apabila terkepungnya bandar ini, sebuah jalan darat akan berjaya diwujudkan, memudahkan lojistik tentera dan tidak perlu lagi berharap dengan jalan laut sahaja.

Bagi pihak Ukraine, Mariupol tidaklah sepenting Kiev, dan untuk bandingkan bandar pelabuhan yang lain, Odesa dan Kherson merupakan lagi penting bagi cabang laut mereka berbanding Mariupol. Memandangkan tentera laut mereka telahpun dilumpuhkan, tiada nilai lagi bagi mereka dari segi laut.

Tetapi, kewujudan jalan darat dari wilayah Donbass akan mengeruhkan keadaan bagi Ukraine, dan mereka akan cuba mempertahankan sebaik mungkin bagi mengelakkan pekara ini dari menjadi realiti.

Kesimpulan dari sebelah selatan: Ukraine ingin menghalang jalan darat yang akan memudahkan Rusia menghala segala bala tenteranya dari selatan menuju ke Kiev.

Operasi Di Timur Ukraine

Kharkiv merupakan bandar kedua terbesar selepas Kiev, dan juga yang paling dekat dengan sempadan Rusia. Bagi Rusia, menawan bandar ini akan memudahkan semula menaikkan ekonomi memandangkan segala infrastruktur telahpun dibina. Hancurnya bandar ini akan menyusahkan sesiapa yang memegangnya selepas penaklukannya.

Tentera Rusia telah beberapa kali mencuba menawan Kharkiv, menyebabkan pertempuran sengit yang akhirnya berpihak dengan Ukraine. Terdapat tanda-tanda menunjukkan sekarang Rusia berubah taktik daripada cuba menawannya, kepada cuba mengepungnya.

Mengepung Kharkiv akan menjadi lebih mudah jikalau ketumbukkan tenteranya dari selatan berjaya menjadikan jalan darat, dan mula mara ke utara.

Tidak semua tentera yang dikerahkan untuk timur Ukraine akan ke Kharkiv, sebaliknya ada yang akan ke Sumy dan terus ke Kiev.


Objektif Utama Serangan, Kiev

Rancangan awal untuk menghancurkan segala unsur Command and Control (C2) Ukraine gagal semasa pemulaan serangan keatas Kiev. Buktinya, Presiden Ukraine masih bebas berlegar, dan pegawai tinggi tentera Ukraine masih boleh memberi arahan dan mengatur serangan hendap untuk mematahkan kemaraan tentera Rusia ke Kiev.

Tidaklah bermakna serangan tersebut tidak memberikan sebarang kesan, seperti mana contoh Ukraine semakin hari semakin hilang penguasaan di arah selatan, sambil di tekan kuat dari arah Belarus.

Pada mulanya, serangan darat sepatutnya datang dari arah Rusia, tetapi mereka tidak menyangka Rusia tergamak untuk menggunakan tanah negara lain (Belarus) untuk menyerang negara lain. Untuk makluman, sebahagian ketumbukan tentera Rusia sedang berada di Belarus untuk latihan tentera bersama.

Setelah 6-7 hari berlangsungnya perang, Tentera Udara Rusia menyerang stesen TV Ukraine dalam usaha untuk melumpuhkan perang saraf Ukraine. Disini penulis ingin menanyakan mengapakah Rusia mengambil masa nak dekat seminggu barulah mereka hendak bertindak untuk memberhentikan saluran maklumat.

Rusia Akan Menang

Usaha Rusia untuk menawan Kiev dalam masa seminggu gagal, namun ini tidak menidakkan ia daripada hakikat, bahawa dalam masa seminggu, mereka telah banyak merosakkan keupayaan Ukraine daripada betul-betul melawan semula.

Jet pejuang MiG-29 Fulcrum pihak Ukraine dihancurkan terlebih dahulu semasa fasa pembukaan.
Serangan dari 3 arah mengucar-kacirkan pihak Ukraine.
Serangan dari Precision-Guided Missile (PGM) seperti Kaliber, Iskander-M untuk menghancurkan elemen C2 Ukraine

Tentera mereka akan mula mengepung bandar-bandar besar dan secara pelan-pelan, memaksa pihak Ukraine untuk menyerah kalah. Konvoi tentera Rusia bergerak dengan kadar 50km sehari, dan apabila tiba di destinasi, mereka akan membuat checkpoint untuk bahan api kenderaan yang akan meneruskan operasi. Buat masa ini, semua ini masih konsisten dan walaupun menerima tentangan hebat, konvoi tetap berjalan.

Doktrin Yang Berbeza

Bagi kita, keputusan peperangan yang terbaik adalah perang dimana satu pihak memijak lawannya sehingga ia tidak dapat membalas semula, dan juga mengurangkan kematian di pihak kita sendiri.

Sebagai contoh, semasa Ops Daulat 2013, Tentera Darat Malaysia memulakan operasi dengan mengebom kawasan pengganas. Meriam 105mm dan mortar 81mm digunakan untuk melembutkan kawasan. Bantuan dari F/A-18D Hornet dan Hawk TUDM dengan mengebom kawasan operasi sehingga lunyai mengurangkan lagi kemungkinan kematian bagi askar darat yang akan membuat follow-up and cleanup.

Konvoi-konvoi tentera yang membawa peralatan, minyak, peluru kita dijaga rapi sepanjang perjalanan untuk mengelak sebarang unsur sabotaj yang akan melambatkan/mematahkan tempo sepanjang Ops Daulat.

Media cetak dan saluran berita awam memaparkan kecekapan gabungan tentera dan polis, wakil dari Jabatan Penerangan pergi ke kampung-kampung untuk menenangkan orang kampung yang sudah mula gelisah dengan khabar angin. Anggota polis dan tentera meronda di kawasan tumpuan berdekatan, seperti sekolah, hospital dan klinik.

Kemaraan berhati-hati oleh anggota Tentera Darat mengurangkan kadar kematian yang mungkin berlaku dari operasi ini. Al-Fatihah kepada wira kita yang gugur.

Kesimpulannya, doktrin yang diambil oleh Malaysia merupakan suatu yang mengecapi pelbagai aspek. Antaranya:

1) Mempunyai maklumat yang lengkap atau ampuh. Ops Daulat membuktikan bahawa tentera kita boleh mengawal saluran maklumat, dan hasil dari itu, mengurangkan kemungkinan kematian atau serangan hendap pihak musuh. Pasukan komando dan juga kenderaan perisai Condor 4x4 menjadi bilah mata yang tajam mengetuai operasi masuk ke dalam kawasan musuh.

2) Perang saraf amatlah penting untuk menangkis sebarang keraguan yang dihadapi oleh penduduk. Penduduk yang bekerjasama merupakan penduduk yang terbaik sekali. Menangi hati dan jiwa mereka dengan memberi jaminan bahawa rumah mereka, tempat ibadat mereka, sekolah anak-anak mereka, semuanya dijaga rapi sepanjang operasi. Ini semua memberikan kesan untuk semangat juang semua yang berkhidmat disana.

3) Penguasaan udara oleh TUDM menidakkan lagi pencoroboh sebarang tindak balas. Akibatnya, mereka dipantau dari atas, dan mereka tahu mereka dipantau, dan tidak banyak jalan keluar selain untuk menyerah diri. Mereka sendiri telahpun rasakan azabnya bom yang dilepaskan oleh Hornet, Hawk, dan meriam-meriam Tentera Darat. Semua ini akan memaksa mereka memikirkan semula tindakan mereka.

4) Keselamatan lojistik sepanjang operasi. Pepatah ada mengatakan, an army moves on its stomach. Tanpa bahan api, peluru, makanan, maka lumpuhlah sebarang operasi tersebut.

Apa yang terjadi di Ukraine menunjukkan kuasa tentera nombor 2 dunia gagal untuk melaksanakan penguasaan udara, perang saraf, dan lojistik. Tidak seperti kecekapan mereka yang ditunjukkan semasa Crimea 2014 dan Syria, mereka seolah-olah tiada halatuju dan kerjasama antara cabang perkhidmatan yang ada.

Kemanakah perginya Tentera Udara Rusia? Dengan segala angka yang ada di atas kertas, mereka akan makan Ukraine dengan mudah, tapi hakikatnya, masuk hari ke-8 dan mereka masih gagal untuk membuat penguasaan udara.

Buktinya, dron Turki, Bayraktar TB2 berjaya menghancurkan konvoi-konvoi dari utara dari memasuki Kiev, dan ini selepas hari ke-4 . Apa sudah jadi wahai kuasa udara ke-2 terkuat dunia?

Kemanakah perginya segala bala propaganda mereka seperti Russia Today dan Ria Novosti? Semasa di fasa awal peperangan, langsung tidak ada mereka ini. Apabila sumber maklumat hanya datang dari satu pihak, maka habislah pihak lawan itu. Terdapat juga laporan bahawa warga Rusia sendiri yang memberikan duit kepada Ukraine yang menyebabkan bank-bank Rusia menghalang sebarang aliran duit ke luar negara.

Mengapa ini berlaku? Apabila maklumat tidak dapat dikawal oleh pihak tersebut, rakyatnya akan tidak bersamanya, dan ini akan menyulitkan lagi keadaan bagi mereka.

Penutup kepada posting hari ke-8 konflik, bukanlah penulis ini terlebih makan kicap NATO dan sebagainya, tetapi sekadar tertanya, dimanakah kekuasaan yang ditunjukkan pada tahun 2014, di Syria dan Crimea. Penguasaan peperangan elektronik dan siber yang lengkap, serta peluru berpandu yang canggih dan juga kuasa udara moden dengan optik menembus awan dan sebagainya.

Sanggupkah Rusia membeli Ukraine dengan membayar beribu-ribu kematian tenteranya dan peralatannya? Sudah pasti ya. Dunia yang berbeza, doktrin yang berbeza.

Artikel diatas adalah merupakan sumbangan daripada penulis tamu. Bagi yang berminat untuk menyertai segmen penulis tamu RENTAKA, bolehlah menghubungi admin RENTAKA.

Most Read