Analisa RENTAKA - Sistem pertahanan udara IRIS- T SLM

May be an image of outdoors

Akhirnya Kementerian Pertahanan telah mula membuat usaha serius untuk melengkapi ATM dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana. Keupayaan persenjataan pesawat pejuang terkini mengizinkannya untuk melakukan serangan dari jarak jauh dan di luar dari jangkauan sistem pertahanan udara yang dimilki oleh ATM. Keperluan untuk sistem pertahanan udara jarak sederhana telahpun disuarakan sejak penghujung tahun 1990 lagi tetapi entah mengapa, tiada usaha serius ke arah itu. Mungkin pada masa itu infrastruktur dan kepakaran masih lagi belum mencukupi bagi membolehkan ATM dilengkapi dengan sistem pertahanan udara seperti itu.



Dua minggu lepas RENTAKA ada menyiarkan satu "post" berkenaan sistem pertahanan udara jarak dekat IRIS-T SLS yang kini digunakan oleh Sweden dan sedang diuji kesesuaiannya untuk menjadi sebahagian daripada jaringan pertahanan udara Jerman. Meskipun konsep sistem pertahanan udara agak bagus dan telah terbukti efektif dalam ujian lapangan, ia dilihat sebagai kurang popular, mungkin kerana kurangnya usaha pemasaran serius oleh firma pengeluarnya.

Terdapat dua jenis sistem pertahanan udara IRIS-T iaitu IRIS-T SLS (Surface Launched Short range) dan IRIS-T SLM (Surface Launched Medium range). Keupayaan tentang sistem IRIS-T SLS telah dinyatakan di dalam posting RENTAKA sebelum ini. Kali ini giliran sistem IRIS-T SLM pula.

Seperti sistem IRIS- SLS, teras bagi sistem pertahanan udara IRIS-SLM adalah peluru berpandu IRIS-T yang sebenarnya adalah peluru berpandu udara ke udara yang sangat lincah. Apa yang lakukan oleh Diehl hanyalah memasang peluru berpandu tersebut kepada pelancar menegak dengan hanya dua komponen tambahan iaitu pek roket tambahan dan kon tirus pada muncung peluru berpandu. Ia ditempatkan di dalam bekas simpanan berbentuk empat segi tepat yang turut berfungsi sebagai sel pelancar. Peluru berpandu IRIS-T dilengkapi dengan sistem GPS, INS dan jaringan data yang membolehkan ia berhubung terus kepada radar pada sebilang masa ketika memecut ke aras sasaran. IRIS-T SLM mempunyai keupayaan pemintasan 360 darjah tanpa titik buta dengan jangkauan operasi sejauh 40 kilometer (terdapat sumber yang menyatakan jangkauan operasi IRIS-T SLM adalah 55 kilometer). Ia boleh menggunakan radar pertahanan sedia ada yang bersesuaian atau radarnya sendiri iaitu radar Giraffe 4A 3D. ATM telahpun mengoperasikan radar yang sesuai untuk digandingkan bersama sistem IRIS-T SLM iaitu radar TRML-3D dan GM-200.

IRIS-T berfungsi dengan mendapat maklumat kedudukan sasaran daripada radar. Ia kemudiannya akan mengira titik optimum di mana ia akan dapat mengesan dan memintas sasarannya dengan optimum. Sebaik sahaja arahan diberikan, peluru berpandu akan dilancarkan dan dengan pantas menuju ke titik yang telah ditentukan. Sebarang perubahan daripada sebarang aspek sasaran akan dihantar oleh radar melalui jaringan data gelombang radio kepada peluru berpandu. Sebaik sahaja peluru berpandu sampai ke titik optimum (berpandukan sistem GPS), kon tirus yang melindungi muncung peluru berpandu akan terbuka secara automatik dan mendedahkan kepala penderia IR IRIS-T. Ia kemudiannya akan mengaktifkan kepala penderianya, mengesan sasaran dan seterusnya meluru kearahnya dan meledakkan kepala peledaknya. Dalam keadaan dimana tiada data GPS dikesan akibat penyerakan elektronik, peluru berpandu akan menggunakan sistem INS dan maklumat daripada radar pemantauan. Kepala penderia IR IRIS-T adalah sangat sensitif digandingkan dengan sistem logiknya mampu untuk mengenalpasti bentuk struktur sasaran dan membolehkannya untuk membezakan sasaran sebenar ataupun pengumpan flare. Sistem logik peluru berpandu juga akan memilih sisi yang paling optimum untuk menghentam sasaran

IRIS-T SLM amat sesuai untuk digunakan oleh tentera udara dimana peluru berpandunya boleh digunakan oleh pesawat pejuang dan sistem SHORAD. Walaupun begitu, ia turut sama sesuai untuk digunakan tentera darat dalam mempertahankan fasiliti penting mahupun pergerakan tentera atau kedudukan penting daripada serangan udara musuh. Trak yang membawa sistem IRIS-T SLM akan kelihatan seperti trak tentera biasa jika muatannya ditutup dengan penghadang kanvas yang biasa digunakan oleh trak tentera. Sistem IRIS-T SLM bersama peluru berpandu tambahan boleh diangkut ke kawasan operasi yang jauh menggunakan pesawat pengangkut C-130 Hercules.

Sistem IRIS-T SLM direka untuk beroperasi dengan krew serta peralatan sokongan seminimum mungkin. Pelancar IRIS-T SLM mempunyai 8 hingga 32 sel pelancar dan boleh dioperasikan oleh hanya dua krew manakala setiap pelancarnya hanya memerlukan sebuah kenderaan kawal dan perintah untuk beroperasi.

Most Read