Mortar 2R2M milik TDM sedang memuntahkan pelurunya ke sasaran (Foto: Utusan.com.my)
 
(Awas, artikel panjang)
 
Salah satu video paling popular di FB Rentaka adalah video demo tembakan mortar terbaru TDM iaitu mortar 2R2M berkaliber 120mm yang dipasang pada kereta perisai Adnan versi pembawa mortar. Ianya popular mungkin kerana ia merupakan salah satu sistem persenjataan terbaru yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TDM. Jika dibandingkan dengan sistem persenjataan yang lain, penembakan mortar lazimnya tidaklah begitu menarik walaupun ianya dikatakan adalah merupakan diantara senjata bantuan yang terpenting di medan perang. Jadi, #Rentaka berpendapat tidak ramai yang memahami apakah impak terhadap pengenalan mortar 120mm ke dalam perkhidmatan TDM.
 
Diraja pada tahun 1933 lagi, mortar adalah salah satu senjata sokongan yang digunakan untuk menyokong operasi samada dalam misi ofensif mahupun defensif. Mortar yang lazimnya digunakan adalah berkaliber 60mm dan 81mm. Mortar berkaliber 120mm sebenarnya telah diperkenalkan semasa era selepas Perang Dunia Pertama lagi tetapi di atas sebab- sebab praktikal, ianya tidak digunapakai oleh TDM sehinggalah pada tahun lepas. Mungkin ada yang tertanya, sekiranya mortar 60mm dan 81mm sedia ada telahpun menyokong operasi TDM selama ini dengan jayanya, mengapa perlu mortar 120mm? Jika dibandingkan berat diantara peluru meriam berkaliber 155mm, peluru mortar 120mm memiliki kuasa memusnah yang hampir sama atau lebih lagi, dalam sesetengah keadaan sedangkan peluru mortar 120mm lazimnya hanyalah seberat kira-kira 18kg berbanding peluru howitzer 155mm yang seberat kira-kira 54kg.
 
Mortar 120mm yang digunakan oleh TDM adalah daripada jenis 2R2M keluaran firma TDA Armements SAS daripada Perancis. Ia mampu untuk melepaskan 10 peluru mortar dalam masa satu minit secara semburan atau 4 peluru mortar seminit dalam mod tembakan berterusan, dengan ketepatan yang lebih baik berbanding dengan mortar 120mm versi tundaan. Mortar ini diadaptasi untuk dipasang pada kereta perisai yang bersesuaian yang bukan sahaja memberikan daya mobiliti yang tinggi tetapi perlindungan daripada tembakan senjata kecil dan serpihan letupan peluru mortar/ meriam musuh. Ini adalah maklumat yang biasa kita dapati daripada laman- laman sesawang biasa. Akan tetapi yang jarang didengar adalah variasi mortar 2R2M iaitu mortar Dragon Fire.
 
Dragon Fire adalah merupakan mortar 2R2M yang dipasang pada kereta perisai Mowag Piranha dan diuji oleh Tentera Marin Amerika (USMC) untuk ditauliahkan ke dalam perkhidmatan dibawah program Expeditionary Fire Support System (EFSS) mereka. Malangnya, penggunaan mortar ini mendapat tentangan daripada banyak pihak dan peruntukan pembangunannya telah dipotong sehingga akhirnya pembeliannya dibatalkan biarpun keputusan ujian tembakan amat memberangsangkan disamping prestasinya yang mengatasi banyak sistem mortar dalam kelasnya. Apa yang menarik adalah versi lanjutan mortar Dragon Fire yang dikenali sebagai Dragon Fire II. Mortar ini kemudiannya telah diubahsuai oleh Picantinny Arsenal dan TDA Armements SAS dimana firma General Dynamics telah dikontrakkan untuk merekabentuk aktuator elektrik baru untuk mengawal sudut dongakan dan arah laras, mekanisma pengisian dan tembakan mortar. Hasilnya adalah mortar seberat hanya 1,565 kg berbanding Dragon Fire asal yang beratnya lebih daripada 3,175 kg. Ia juga dipasang dengan komponen tambahan seperti radio komunikasi digital, sistem navigasi dan sistem komputer misi bagi membolehkannya menerima dan memproses misi tembakan, menyasarkan laras mortar, memuat dan melancarkan peluru mortar dalam masa 18 saat secara automatik sekiranya perlu. Dalam ujian- ujian tembakan, peluru mortar yang dilancarkan kebanyakannya meledak dalam lingkungan 15 meter daripada titik bidikan apabila tembakan dibuat daripada jarak 5,600 meter. Setiap satu mortar Dragon Fire II boleh dirangkaikan melalui jaringan radio untuk menjadi satu tim tembakan bersepadu bagi membolehkan misi tembakan yang sangat kompleks boleh dilaksanakan dengan pantas dan tepat. Dengan sistem ini, satu bateri Dragon Fire II yang mengandungi 6 unit mortar boleh menghujani setiap meter kawasan berkeluasan 440 x 805 meter dalam masa empat minit. Ini bermakna mortar 2R2M yang digunakan oleh TDM boleh dinaiktaraf kepada standard mortar Dragon Fire II dan bukan sahaja membolehkan ia turut sama beroperasi secara automatik dengan menerima data sasaran serta pelan tembakan melalui radio digital tetapi juga mengurangkan krew mortar yang diperlukan kepada lebih daripada separuh daripada bilangan krew biasa.
 
Selain itu, mortar 120mm seperti 2R2M adalah sangat sesuai untuk digunakan di dalam peperangan bandar. Jika dilihat semasa operasi anti pengganas oleh tentera Filipina di Marawi, bangunan bertingkat dan lorong- lorong sempit seringkali menjadi tempat pengganas berlindung daripada serangan artileri dan mortar 81mm. Peluru artileri sukar untuk membelasah lawan yang berlindung di lorong sempit kerana londarannya agak mendatar manakala bangunan bertingkat menawarkan perlindungan daripada serangan mortar 81mm. Mortar 120mm walaubagaimanapun dijangka tidak menghadapi masalah untuk membelasan lawan yang berlindung di kedua- dua tempat kerana londarannya sememangnya curam dan peluru mortarnya yang berat memungkinkannya untuk menembusi bangunan bertingkat jika menggunakan fius yang bersesuaian disamping kuasa letupannya yang menyamai kuasa letupan peluru artileri berkaliber 155mm!

No photo description available.Mortar 120mm EFSS yang digunakan oleh USMC dalam satu latihan penembakan. Perhatikan kenderaan penunda serta trailer kecil yang turut memuatkan komponen sokongan dan stok peluru mortar.

Satu lagi perkara yang jarang diketahui adalah mortar 2R2M turut mempunyai keupayaan serangan surgikal! Keupayaan ini dibekalkan dengan penggunaan peluru mortar khas iaitu Mortar Guided Munition. Peluru mortar ini memiliki penderia yang mengesan pancaran laser dan membolehkannya menghentam sasaran dengan tepat sehingga ke jarak 15 kilometer. Ini bermakna unit mortar TDM boleh menghentam sasaran di kawasan bandar mahupun kenderaan armor/ MBT musuh.
 
USMC sebenarnya menggunakan variasi mortar 2R2M yang ditunda oleh kenderaan dan menggunakan cara suapan manual. Walaupun mortar ini berfungsi dengan baik dan mencapai objektifnya, USMC merasakan bahawa agak sukar untuk mengangkut mortar ini bersama dengan kenderaan penunda serta komponen sokongan dengan menggunakan helikopter mahupun pesawat V-22 Osprey. Jadi baru- baru ini telah menamatkan perkhidmatan kesemua mortar 2R2M USMC. Oleh kerana mortar 2R2M adalah daripada jenis "rifled", maka ia tidak serasi dengan mortar 120mm yang digunakan oleh Tentera Darat Amerika yang menggunakan laras "Smoothbore". Oleh itu USMC berhasrat untuk menyedekah mortar, komponen sokongan, kenderaan penunda dan stok- stok peluru mortar kepada negara- negara yang berminat, besar kemungkinan menerusi program "Excess Defence Articles" (EDA). Jadi ini adalah peluang untuk TDM meningkatkan pegangan mortar 120mm mereka atau setidak- tidaknya stok peluru mortar yang serasi dengan mortar 2R2M TDM dengan kos yang cukup minima.