Isu pencerobohan beting Patinggi Ali oleh kapal CCG China

No photo description available.

Sebenarnya tim Rentaka ingin memperkatakan tentang perkara yang berbeza atau secara spesifiknya tentang idea untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan anti kapal TDM. Walaubagaimanapun melihatkan perkembangan terkini pendapat ramai tentang keadaan geopolitik semasa, maka tim Rentaka terpanggil untuk menzahirkan pendapat.


Dewasa ini dilihat banyak pihak (termasuklah individu) yang mengkritik cara kerajaan Malaysia menangani "pencerobohan" aset pengawal pantai China di kawasan laut negara. Tidak kurang juga yang melihat campur tangan kapal perang Amerika sebagai sokongan pasukan sahabat dalam memampan asakan sang naga. Tidak kurang juga yang tertanya- tanya mengapa Amerika dan Jepun menawarkan aset- aset ketenteraan kepada negara- negara jiran dan tidak kepada Malaysia.

Sebelum memulakan bicara, sayugia diingatkan bahawa tim Rentaka turut berpendapat bahawa tuntutan "nine dash line" China sebagai mengarut dan dibuat pada asas yang lemah.

China adalah satu kuasa regional dan kuasa dunia yang semakin meningkat naik. Malah tidak keterlaluan untukm dikatakan ia telah mengatasi Amerika dalam banyak bidang. Pada segi ketenteraan, China telah mula membangunkan keupayaan tenteranya dengan pelbagai cara dalam usaha untuk memodenkan angkatan tentaranya. Akan tetapi semuanya dijana oleh kuasa ekonomi China yang bukan sahaja membesar dengan pantas tetapi juga memerlukan bahan mentah yang banyak terutamanya minyak untuk menyokong pertumbuhannya. Ini adalah salah satu punca tuntutan nine dash line dibuat. Untuk menguatkan lagi tuntutan tersebut, maka China mula membina struktur ketenteraan dan memperbesarkan pulau di kawasan- kawasan yang dituntut.

Negara- negara di Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Filipina pada segi geopolitiknya adalah penting kerana negara- negara ini mengawal laluan perkapalan. Indonesia adalah lebih penting kerana kedudukannya untuk mengawal segenap laluan perkapalan daripada Lautan Hindi dan Laut Andaman ke laut China Selatan mahupun Lautan Pasifik. China sudah menyedari hakikat ini sejak ribuan tahun dahulu dan sehingga sekarang telah menjalankan hubungan baik dengan kebanyakan negara- negara di Asia Tenggara (kecuali Vietnam).

Amerika yang pada mulanya hanya bersuara, mula nampak bahawa tindakan China bukan sahaja akan membolehkannya menguasai sumber- sumber asli yang banyak di kawasan yang dituntut tetapi juga menganggu imbangan kuasa di Asia tetapi juga mula menguasai laluan laut ke Jepun, Korea dan Taiwan dan boleh menyekat sebarang armada yang cuba melalui kawasan tersebut. Jepun juga risau dengan tindakan China oleh kerana sebab yang sama. Sebenarnya kajian tentang cara- cara untuk menyekat bahan mentah daripada sampai ke China sekiranya berlaku konflik bersenjata telah lama dirangka. Kebanyakannya melibatkan sekatan laut di laluan perkapalan yang sempit seperti Selat Melaka dan Selat Sunda dan hal ini disedari oleh China. Ini adalah cerita latar versi sangat pendek tentang konflik tuntutan China.

Seperti dalam mana- mana konflik, Amerika akan memulakan serangan melalui perang saraf atau psy-war terutamanya melalui media. Penguasaan media dunia oleh Amerika telah lama digunakan untuk membentuk pemikiran masyarakat dunia. Usaha ini menjadi sangat penting dengan penggunaan internet dan media sosial yang menyebarkan berita dengan pantas (dan juga mengapi- apikan khabar- khabar angin). Terdapat satu filem komidi yang bertajuk "Wag The Dog" lakonan Robert De Niro dan Dustin Hoffman yang memaparkan usaha perang saraf Amerika untuk mencapai objektif- objektif tertentu. Contoh sebenar yang paling mudah adalah insiden serangan ke atas kapal pembinasa USS Maddox pada tahun 1964 oleh bot torpedo Vietnam Utara yang menjadi asas utama peningkatan campurtangan Amerika dalam perang Vietnam. Hanya setelah 41 tahun berlalu barulah pengesahan dibuat bahawa peristiwa serangan ke atas USS Maddox sebenarnya tidak pernah terjadi.

Dalam hal ini, Rusia dan China telah lama menjadi sasaran perang saraf Amerika. Pelbagai cerita buruk boleh dibaca di internet berkenaan kedua- dua buah negara. Kesemuanya adalah untuk membentuk pemikiran masyarakat dunia. Satu contoh mudah adalah berita kapal LMS kelas Keris milik TLDM yang dibina oleh firma China dikatakan bermasalah sedangkan sekiranya dikaji, hanya melibatkan sistem meriam utama berkaliber 30mm, sistem radar dan sistem tempur kapal. Harus diingatkan bahawa kapal perang ini masih dalam waranti dan segala pembaikan akan ditanggung oleh firma pembuat.

Dalam tahun ini, banyak berita tentang pencerobohan kapal Pengawal Pantai China di beting Patinggi Ali telah disiarkan di internet mahupun media sosial. Maka hebohlah di media sosial dan kutukan serta sumpah seranah ditujukan kepada China dan tidak kurang juga kepada pemimpin negara. Terkini, pencerobohan kapal Pengawal Pantai China di beting Patinggi Ali diwar- warkan lagi. Persoalannya, berita itu bersumberkan daripada mana? Adakah ia dikeluarkan oleh agensi berita antarabangsa ataupun think tank yang berpusat di Amerika mahupun Eropah? Adakah berita tersebut boleh disahihkan? Terus terang, dalam kebanyakan berita seperti ini menggunakan gambar satelit yang kabur sebagai sumber dan tidak dapat ditentukan bahawa ia diambil di kawasan Beting Patinggi Ali. Majoriti pembaca hanya menerima apa sahaja maklumat yang diberikan dan akan "share" dengan pantasnya. Semasa Perang Ramadan 1973, banyak agensi berita yang menyiarkan gambar sebuah pesawat pejuang Mesir terbakar di udara setelah ditembak jatuh. Hanya setelah berpuluh tahun berlalu barulah ada yang meneliti gambar tersebut dan menyedari bahawa pesawat tersebut adalah pesawat pejuang F-4 Phantom II milik Israel!

Persoalannya mengapa kerajaan Malaysia banyak mengambil tindakan mendiamkan diri dalam hal pencerobohan kapal Pengawal Pantai China di beting Patinggi Ali? Pertama- tamanya Undang- undang laut antarabangsa sebenarnya membenarkan kapal- kapal daripada semua negara bergerak bebas ke mana jua kecuali dalam jarak dalam jarak 34 kilometer daripada pantai. Beting Patinggi Ali terletak 100 kilometer daripada pantai Malaysia. Ini bermakna beting tersebut berada dalam kawasan EEZ negara dan undang- undang laut antarabangsa telah menggariskan bahawa di kawasan ini hanya untuk membolehkan negara menuai sumber asli di kawasan tersebut. Ini bermakna sekiranya kapal Pengawal Pantai China mahu berlabuh di situ selama 30 tahun sekalipun, ia tidak menjadi kesalahan asalkan ianya hanya untuk tujuan berlabuh dan bukan untuk tujuan lain. Kedua, Malaysia mempunyai cara tersendiri dalam melakukan diplomasi. Sejak merdeka lagi kerajaan Malaysia lebih selesa melakukan diplomasi dalam senyap. Bak kata pepatah, seperti menarik rambut daripada tepung. Asalkan hasilnya mencapai objektif dan memelihara kepentingan negara. Daripada segi perundangan antarabangsa, tuntutan China terhadap beting Patinggi Ali dan beberapa pulau yang dituntut negara telah dibuktikan tidak sah di sisi undang- undang antarabangsa. Jadi Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dalam menolak tuntutan China.

Ramai yang mahukan kerajaan bertindak dengan lebih keras untuk menghalau kapal Pengawal Pantai China. Tetapi adakah cara ini akan membuahkan hasil? Sekalipun cara ini berjaya pertama kali, ia mungkin akan mengakibatkan korban dan kapal Pengawal Pantai China mungkin akan kembali dengan membawa geng yang lebih sado. Kita harus sedar bahawa cara kekerasan tidak akan membuahkan hasil yang baik terutamanya dalam menghadapi negara besar seperti China. Bak kata pepatah, ikut rasa, binasa. Ikut hati, mati.

Jadi haruskah kita berdiam diri dan berpeluk tubuh? Tidak. Kerajaan Malaysia sentiasa berusaha dalam diplomasi mereka. Banyak sebenarnya kejayaan negara dalam berdiplomasi dengan China cuma ia samada tidak diwar- warkan kerana tidak sensasi atau tidak boleh diceritakan.

Most Read