Jangkahayat meriam howitzer LG1 105mm

May be an image of outdoors

Rata- rata pembaca RENTAKA tahu bahawa TDM telah menerima sejumlah enam pucuk meriam howitzer LG1 Mk. III 105mm daripada 18 pucuk yang dipesan daripada firma GIAT pada tahun 2018. Metiam ringan ini dihantar dalam bentuk lerai dan dipasang oleh firma Advance Defence Systems Sdn. Bhd. di Johor.


Kontrak pembelian meriam ini meliputi meriam LG1 Mk III, komputer balistik kompak mudah alih BACARA dan peluru meriam 105mm G3 ERBB dengan jangkauan 17 kilometer.

Pembelian meriam 105mm ini dilihat sebagai langkah pertama untuk menggantikan meriam Model 56 pack howitzer yang telah berkhidmat dengan cemerlang sejak tahun 60an. Walaubagaimanapun masalah dana dijangka akan melambatkan rancangan untuk mengundurkan meriam- meriam tersebut daripada perkhidmatan.

Sesetengah sumber menyatakan bahawa walaupun laras meriam howitzer LG1 mempunyai jangkahayat laras sebanyak 7,500 EFC, berdasarkan pengalaman pengguna awal meriam ini, jangkahayat laras meriam LG1 dikatakan hanyalah sekitar 1,500 EFC sahaja. Setiap laras meriam mempunyai jangka hayatnya tersendiri yang dikira dalam unit dipanggil "Equivalent Full Charge" atau EFC. Setiap tembakan meriam akan dikira dan direkodkan secara manual oleh krew meriam dan secara automatik oleh sistem komputer kawalan tembakan. Sebaik sahaja laras telah hampir sampai ke penghujung jangka hayatnya, ia hendaklah diganti. Penggantian laras meriam secara kerap akan meningkatkan kos operasi dan mengganggu tempo operasi meriam ketika berperang.

Walaubagaimanapun, tidak diketahui samada masalah jangka hayat pendek laras meriam masih lagi wujud pada versi LG1 Mk III yang dioperasikan oleh TDM.

Kredit foto: Tentera Darat Diraja Thailand.