Dari fail APMM: Kisah penawanan kapal tangki MGT 1 oleh lanun

May be an image of outdoorsTim STAR APMM sedang melakukan teknik "fast roping" daripada helikopter AW 139 di atas kapal KM Pekan. (Foto: APMM).

Komuniti pemerhati serta penganalisa pertahanan dan geopolitik dunia sedia maklum bahawa Malaysia dan Indonesia memiliki kelebihan daripada segi geopolitik kerana menguasai laluan perkapalan yang menghubungkan Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Selat Melaka pula adalah merupakan sekatan semulajadi yang sangat strategik di mana trafik perdagangan dunia melaluinya setiap hari. Ramai diantara kita tahu yang Selat Melaka adalah laluan perkapalan terpenting di Asia Tenggara dan sentiasa sibuk dengan kapal lalu lalang sejak berkurun lamanya.
 
Akan tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa laut di sekitar Semenanjung Malaysia adalah arteri utama kelangsungan hidup dan kemakmuran ekonomi bagi negara- negara seperti Taiwan, semenanjung Korea, Jepun dan China. Lebih daripada 115,000 kapal kargo dan komersil yang melalui perairan sempit ini setiap tahun dan jumlah tersebut semakin bertambah. Jika dibahagikan jumlah tersebut kepada hari, kira- kira 315 buah kapal melalui Selat Melaka setiap hari iaitu 4 hingga 5 kali ganda lebih tinggi jika dibandingkan dengan laluan perkapalan kedua tersibuk di dunia iaitu Terusan Suez.
 
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, gergasi- gergasi utama Asia amat bergantung kepada Selat Melaka untuk memastikan ekonomi mereka terus berkembang pesat. Sebagai contoh, hampir kesemua bekalan minyak mentah Jepun untuk kelangsungan ekonomi serta tenaga perlu melalui Selat Melaka. Begitu juga dengan China dimana 80% import minyaknya (atau kira- kira 18 juta tong sehari) dan hampir 60% keluaran negaranya dengan nilai hampir USD 1 trillion turut perlu melalui perairan Malaysia. Bukan itu sahaja, adalah dianggarkan 80 peratus daripada bekalan minyak dunia perlu melalui Selat Melaka saban tahun. Sebarang masalah mahupun konflik yang berlaku di perairan Malaysia terutamanya di Selat Melaka bukan sahaja boleh menyebabkan ekonomi gergasi ekonomi Asia merudum tetapi juga boleh menyebabkan ekonomi dunia turut sama menjunam.
 
Dengan jumlah kapal- kapal yang melalui perairan negara semakin meningkat saban tahun, ia membuka peluang untuk pelbagai aktiviti jenayah untuk dilakukan seperti pelanunan, penangkapan ikan secara haram, penyeludupan, dan aktiviti pencemaran seperti bahan sisa berjadual dan pelepasan bahan kimia merbahaya di perairan negara. Malah risiko berlakunya konflik asing mahupun serangan pengganas mungkin bakal mengancam bukan sahaja kepentingan dan kesejahteraan negara khususnya tetapi juga dunia amnya. Jelas sekali Malaysia memerlukan satu agensi yang bukan sahaja berfungsi untuk menguatkuasakan undang- undang di perairan negara tetapi juga menjaga keselamatan di laluan perkapalan daripada ancaman seperti pelanunan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Meskipun telah ada agensi- agensi lain seperti Polis Marin, Kastam dan Jabatan Laut yang menguatkuasakan undang- undang di perairan negara, ia hanya terhad kepada bidang kuasa yang diperuntukan oleh akta masing- masing. Oleh itu keperluan untuk satu agensi teras yang diberi mandat oleh kerajaan untuk menguatkuasakan kesemua peruntukan- peruntukan undang- undang yang ada bagi menjaga perairan negara. Diatas keperluan tersebut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah ditubuhkan pada tahun 2005. Meskipun baru menjangkau usia remaja 16 tahun, APMM telah mencapai banyak kejayaan. Ada yang diwar- warkan secara ringkas di dada akhbar tetapi banyak kisah kejayaan agensi penguatkuasaan maritim ini kurang diberi pendedahan serta dibawa ke p pengetahuan umum. Akan tetapi rekod kejayaan APMM tidak boleh disangkal lagi malah turut sama terlibat dalam menyelesaikan kes-kes yang merebak hingga ke luar sempadan negara.
 
Meskipun mewarisi aset- aset yang membolehkannya untuk melangkah laju ke hadapan, kebanyakan aset- aset ini telah usang dan kurang sesuai untuk digunakan dalam operasi penguatkuasaan undang- undang. Kapal peronda yang usang memerlukan lebih banyak kerja- kerja penyelenggaraan dan pada kos yang lebih tinggi bagi membolehkan ia untuk terus beroperasi. Jumlah kapal peronda yang dimiliki juga tidak begitu mencukupi. APMM memiliki kira- kira 73 buah kapal peronda pelbagai jenis serta saiz untuk menjaga dan meronda Zon Maritim Malaysia yang secara keseluruhannya seluas kira- kira 614,000 kilometer persegi yang turut mengandungi kawasan pesisir pantai sepanjang 4,490 kilometer dan kira- kira 561 buah pulau! Biarpun beroperasi dalam keadaan serba kekurangan, amanah dan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan perairan negara tetap dilakukan ditatang rapi.
 
Jelas sekali laluan perkapalan yang sentiasa sibuk di perairan negara telah membuka peluang untuk aktiviti pelanunan untuk berlaku sekiranya tiada usaha- usaha untuk membenterasnya. Sejak berkurun dahulu, kawasan perairan di Nusantara sememangnya terkenal dengan aktiviti perlanunan yang sukar untuk dibanteras. Pun begitu APMM telah mencapai banyak kejayaan dalam usaha untuk membenteras kegiatan pelanunan di perairan negara. Salah satu daripada kejayaan tersebut adalah pembebasan kapal tangki MT MGT 1 daripada ditawan oleh lanun.
Pada 6 September 2017 lebih kurang pukul 9.00 malam, sebuah kapal tangki bernama MT MGT 1 telah diekori oleh sebuah bot laju dengan sekumpulan 13 orang lanun yang bersenjatakan pisau, pedang dan parang. Tanpa disedari oleh krew kapal, bot laju tersebut menyusup dari buritan kapal, menyangkutkan tali pada sisi badan kapal dan sepuluh orang lanun mula memanjat tali tersebut seorang demi seorang sebelum menyerang dan menawan anjungan kapal. Kapal tangki MT MGT 1 pada ketika itu membawa sejumlah 2.2 juta liter minyak diesel bernilai kira- kira RM 7.0 juta. Penawanan kapal tangki ini disedari oleh syarikat pemilik kapal di Thailand apabila mendapati sistem AIS kapal telah dipadamkan dan anak kapal kemudiannya mengaktifkan penggera amaran senyap yang menandakan bahawa kapal tangki tersebut telah ditawan lanun. Lanun- lanun tersebut kemudiannya memaksa juragan kapal untuk belayar ke satu kawasan tidak jauh daripada situ dan berlabuh di sebelah sebuah lagi kapal tangki (MT Neptune 09) yang sedang menunggu. Sebaik sahaja berlabuh, lanun- lanun tadi segera memulakan operasi mengepam minyak diesel daripada kapal tangki MT MGT 1 ke kapal tangki MT Neptune 09 dan pada masa yang sama mula menggeledah kapal dan merompak krew kapal.
 
Sebaik sahaja menerima penggera amaran senyap, pemilik kapal tangki MT MGT 1 di Bangkok segera melaporkan kejadian tersebut kepada APMM. Kedudukan terakhir kapal tangki tersebut dikesan oleh sistem AIS adalah kira- kira 54 batu nautika dari Dungun, Terengganu. APMM segera menghantar dua buah kapal perondanya dan sebuah helikopter AW 139 bersama satu tim Special Task And Rescue (STAR) untuk operasi carilamat. Setelah mencari beberapa ketika, kapal tangki MT MGT 1 telah dijumpai oleh helikopter AW 139 APMM di kedudukan 38 batu nautika daripada Pulau Tenggol, Terengganu pada 7 September 2017, jam 2.05 pagi. Sebaik sahaja kedudukan kapal dikesan, maklumat lokasi segera disampaikan ke dua buah kapal peronda APMM yang turut sama dalam operasi carilamat. Serentak dengan itu, operasi menawan kembali kapal tangki MT MGT 1 segera dibuat dengan anggota tim STAR meluru turun daripada helikopter dengan menggunakan teknik “Fast Roping”. Melihatkan kemunculan helikopter APMM, bot lanun tadi dengan tiga orang lanun segera memecut untuk meloloskan diri. Krew helikopter segera melepaskan tembakan terhadap bot laju tersebut tetapi tidak dapat mengejar jauh kerana bahan api helikopter telah menghampiri tahap kritikal. Oleh itu, bot laju lanun berjaya melarikan diri. Berbeza pula dengan kumpulan lanun yang berada pada kapal MT MGT 1 dan MT Neptune 09. Oleh kerana bot laju mereka terlebih dahulu melarikan diri, mereka terperangkap di atas kapal tanpa peluang untuk meloloskan diri. Berhadapan dengan tim STAR yang lengkap bersenjata, mereka segera menyerahkan diri dan kesemuanya berjaya ditangkap. Operasi menyelamat kapal MT MGT 1 telah ditamatkan dengan jayanya hanya dalam masa 10 jam daripada waktu disedari hilang oleh pemiliknya tanpa mengalami sebarang korban pada krew mahupun anggota APMM.
 
No photo description available.
Imej infra merah kapal tangki MT MGT 1 yang diikat pada kapal tangki MT Neptune 09, dilihat daripada kepala penderia FLIR helikopter AW 139. (Foto: Information Fusion Center)

Operasi carilamat kapal tangki MT MGT 1 telah berjaya menangkap 10 orang lanun. Yang menariknya ketika melakukan soal- siasat, pihak APMM bukan sahaja berjaya mengenalpasti perancang utama rompakan tersebut tetapi juga lokasi di mana beliau berada. Operasi menangkap utama rompakan segera dilancarkan dan berjaya menangkapnya. Rupa- rupanya beliau sedang menginap di salah sebuah hotel bajet di Johor Bahru dan memantau pergerakan kapal tangki MT MGT 1 menerusi sistem AIS kapal yang diakses menerusi laman web tertentu di komputer ribanya dan menyampaikan maklumat tersebut terus kepada kumpulan lanunnya. Daripada bilik hotelnya juga beliau memantau perjalanan operasi rompakan.
 
Menurut laporan, kesemua lanun tersebut adalah dipercayai warganegara Indonesia dan berkomunikasi dalam bahasa Indonesia. Kapal tangki Neptune 09 pula dipercayai bertindak sebagai kapal induk kepada kumpulan lanun tersebut untuk mereka melakukan serangan. Semasa serbuan oleh tim STAR APMM dibuat, sebanyak 1 juta tan minyak diesel sudah dipindahkan daripada kapal MT MGT 1 ke kapal MT Neptune 09. Hasil siasatan mendapati bahawa nama kapal MT Neptune 09 adalah palsu. Ini menunjukkan bahawa operasi kumpulan lanun menjadi semakin sofistikated, terancang dan tidak lagi menyerang sasaran mudah tetapi mempunyai objektif yang jelas serta sanggup membuat serangan merentasi sempadan dan jarak yang jauh.
 
Kesemua sepuluh orang lanun dan perancang utama rompakan yang berjaya ditangkap telah didakwa di Mahkamah dibawah Seksyen 395, Kanun Keseksaan dan telah didapati bersalah. Kesemua mereka telah dijatuhi hukuman 16 tahun penjara dan enam orang daripadanya turut dikenakan hukuman 5 kali sebatan rotan.
 
Kisah pembebasan kapal tangki MT MGT 1 hanyalah secebis daripada kisah kejayaan APMM dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. RENTAKA yakin terdapat banyak lagi kisah- kisah kejayaan dan pengorbanan anggota APMM yang masih belum diketengahkan. Apapun, rasanya masih belum terlewat untuk RENTAKA untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ke-16. Fair winds and following seas!

 

Most Read