Analisa RENTAKA: Pesawat pejuang ringan- satu trend yang semakin popular

May be an image of aeroplane and sky

Trend pesawat pejuang sejak kebelakangan nampaknya telah beralih kepada pesawat pejuang ringan yang murah harga dan kos pengoperasiannya serta tidak terlalu kompleks berbanding pesawat pejuang generasi ke 4 dan ke 5. Faktor utama yang menjurus ke trend ini dikatakan berpunca daripada keadaan ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya akibat dari krisis harga minyak yang merudum. Bagai tsunami yang melanda, krisis ekonomi dunia diparahkan lagi dengan krisis wabak Covid 19 sejak tahun 2020. Keperluan mendesak untuk mengkuarantinkan rakyat jelata di hampir setiap negara di seluruh dunia telah menyaksikan perkembangan ekonomi dunia telah menguncup secara drastik.

Status dunia dilanda pandemik yang diisytiharkan oleh WHO memaksa kerajaan- kerajaan di seluruh dunia menumpukan perhatian dan perbelanjaan negara hampir sepenuhnya kepada usaha- usaha memerangi wabak Covid 19 dan merencatkan perancangan penggantian peralatan pertahanan yang telah usang disebabkan kemelesetan ekonomi semasa dekad lepas. Pun begitu, timbulnya ancaman- ancaman baru daripada negara tertentu mahupun kumpulan- kumpulan pengganas telah meletakkan banyak negara berada dalam kadaan dilema samada berbelanja untuk kelengkapan perang sewaktu krisis kesihatan dan ekonomi yang belum menunjukkan surutnya mengambil bersikap optimis pada usaha diplommasi dan berharap mereka tidak terseret sama dalam kancah peperangan.

Negara- negara di rantau Asia Tenggara kelihatan telah mula mengambil pendekatan sendiri dan berdasarkan sudut pandangan serta kemampuan ekonomi masing- masing. Apa yang menarik, empat negara yang menjadi sebahagian daripada teras utama ASEAN telah memilih untuk membeli pesawat pejuang ringan bagi memperkuatkan pertahanan mereka. Filipina, Indonesia dan Thailand masing- masing telah memilih untuk membeli pesawat pejuang T-50 atau FA-50 keluaran Korea Selatan. Singapura pula memilih pesawat M-346 yang diperanankan sebagai pesawat latihan tetapi tetap mempunyai kemampuan untuk diperanankan sebagai pesawat pejuang ringan.

Daripada segi keupayaan dan persenjataan pertempuran udara, kebanyakan pesawat pejuang ringan buat masa ini hanya mampu untuk melakukan pertahanan udara secara "point defence" atau jarak dekat sahaja. Bergantung kepada jenis, pesawat pejuang ringan biasanya memiliki diantara tujuh hingga sembilan pilon yang boleh dipasang dengan persenjataan, tangki bahan api tambahan, pod optik/ bidikan mahupun pod penyerakan elektronik. Daripada segi harga pula, kebanyakan pesawat pejuang ringan mampu dimiliki dalam sekitar USD$20- USD$30 juta sebuah tetapi harga ini bergantung kepada jenis, jumlah dan modifikasi yang dilakukan serta pakej- pakej lain yang berkaitan. Bandingkan dengan harga pesawat generasi ke 4 dan ke 5 yang berharga diantara USD$60 juta hingga ke USD$150 juta sebuah! Oleh itu tidak hairanlah pesawat pejuang ringan semakin menjadi pilihan.
Pun begitu, jika diteliti pada trend pembelian pesawat pejuang ringan, kebanyakan negara masih melaburkan sejumlah wang yang besar untuk memiliki pesawat pejuang generasi terkini. Pesawat pejuang ringan pula dibeli untuk memikul tugas- tugas mudah yang tidak memerlukan sistem avionik yang canggih dan kompleks. Kebanyakan pembelian pesawat pejuang ringan oleh negara- negara di Asia Tenggara juga adalah dalam kuantiti yang kecil iaitu tidak melebihi 16 buah pesawat.

Baru- baru ini Kementerian Pertahanan telah membuka tender untuk 18 buah pesawat tempur ringan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Maka meriahlah blog dan FB page pertahanan tempatan memperkatakan tentang topik ini.

Satu perkara menarik tentang pesawat tempur ringan, majoritinya tidak dilengkapi dengan keupayaan serangan anti kapal jarak jauh. Kedudukan strategik Malaysia di salah satu laluan laut terpenting dunia telah menjadikan salah satu negara yang memiliki perairan laut yang luas. Ditambah pula negara terpisah dua oleh Laut China Selatan, keperluan untuk keupayaan penguasaan maritim adalah sangat penting.

Oleh kerana kedua- dua jenis pesawat pejuang utama TUDM semakin hari semakin berusia, pemilihan pesawat LCA adalah amat penting kerana ia perlu mengisi lopong- lopong yang ada daripada segi keupayaan TUDM. Oleh kerana itu, meskipun dipanggil program LCA, pesawat pejuang yang dipilih haruslah mampu untuk melakukan tugas seperti mini MRCA. Bagi pembaca RENTAKA sudah tentunya tahu apa yang menjadi pilihan tim RENTAKA (ehem Gripen ehem...). Namun begitu, jika Gripen tidak dipilih untuk menyertai tender, maka bagi tim RENTAKA, pesawat latihan T-7A dilihat sebagai satu pilihan yang baik. Ini adalah kerana program ini masih baru, mendapat komitmen Tentera Udara Amerika dan berpeluang untuk mendapat program timbal balas. Disamping itu terdapat kemungkinan T-7 akan dibangunkan keupayaannya menjadi pesawat tempur ringan seperti mana pesawat latihan T-38 Talon dibangunkan menjadi pesawat pejuang F-5E Tiger II. Jika kerajaan dapat mengambil bahagian dalam projek T-7A, ia akan memberikan banyak impak yang positif terhadap pembangunan industri aeroangkasa negara khususnya industri pertahanan. Pesawat latihan T-7A yang dihasilkan secara bersama oleh Saab dan Boeing kini berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan untuk pesawat tempur ringan dan pesawat latihan sekaligus termasuklah sebagai pesawat LIFT. Pihak Boeing sendiri mengakui bahawa mereka akan menaik taraf keupayaan tempur pesawat T-7A sehingga dapat mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh pesawat F-5E serta pesawat pejuang sekelasnya. T-7A sebagai pesawat latihan hanyalah langkah pertama sahaja dalam perancangan Boeing. Sekiranya kerajaan Malaysia dapat memberikan komitmen dengan menyertai program pesawat latihan T-7, tidak mustahil untuk negara memohon kepada Boeing dan Saab untuk pakej timbal-balas pembuatan komponen pesawat tersebut, sekaligus memacu industri aeroangkasa dan membawa suntikan pelaburan asing yang besar. Program pesawat ini juga adalah lebih stabil dengan Tentera Udara Amerika telah memesan 351 buah pesawat manakala Boeing menjangkakan terdapat pasaran untuk 2,600 pesawat latihan T-7. Itu belum mengambil kira versi pesawat pejuang ringan yang mungkin dibeli secara berasingan oleh negara- negara yang berminat.

Bagi tim RENTAKA, kami telah memperkatakan tentang topik calon- calon pesawat LCA TUDM ini secara agak panjang lebar tidak lama dahulu. Bagi yang berminat untuk membaca ulasan RENTAKA tentang program pesawat LCA TUDM, bolehlah klik pada pautan dibawah: