Analisa RENTAKA - Mungkinkah Malaysia Akan Memiliki P-8 Poseidon?

No photo description available.

Berita daripada agensi Reuters tentang penangguhan pembelian pejuang baru oleh kerajaan Malaysia sememangnya agak mengejutkan. Akan tetapi perancangan untuk pemilikan pesawat rondaan maritim baru sebenarnya telah lama dibuat. Cuma iklim geopolitik serantau terutamanya di Laut China Selatan dan krisis di Marawi telah menjadikan pemilikan pesawat rondaan maritim menjadi keutamaan.
Dengan kawasan laut yang luas dan kaya pelbagai sumber perikanan dan sumber- sumber yang menguntungkan seperti gas asli dan minyak, ia memerlukan pesawat rondaan maritim untuk meronda dengan efektif, kawasan laut luas yang dimiliki oleh negara. Pelanunan dan pencerobohan nelayan asing telah lama menjadi duri dalam daging dalam isu keselamatan laut negara. Satu contoh kerakusan nelayan asing adalah bangkai kapal perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse yang tenggelam akibat serangan udara Jepun semasa Perang Dunia Kedua telah dicuri.
 
Satu lagi ancaman yang bakal menunggu masa untuk meledak sekiranya tidak ditangani dengan baik adalah krisis di Laut China Selatan. Meskipun adalah menjadi dasar negara untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua negara (kecuali Israel), krisis yang mungkin bakal meledak di Laut China Selatan dilihat denngan penuh kebimbangan dan integriti sempadan negara haruslah dijaga dan dikekalkan dengan apa jua harga sekalipun. Ancaman militan yang setia kepada ISIS kini menjadi satu ancaman yang terbesar negara.
 
Seranngan militan di Marawi, selatan Filipina serta kecekalan mereka untuk terus bertahan sekalipun diasak hebat dari darat dan udara oleh tentera Filipina adalah amat membimbangkan. Dengan jatuhnya Mosul ke tangan tentera Iraq baru- baru ini, ISIS dilihat cuba untuk mencari kawasan baru untuk mereka bertapak. Krisis di Marawi telah menyaksikan menyusupan anggota- anggota militan yang menyahut seruan ISIS untuk menentang tentera Filipina. Ini berpotensi untuk bakal diburukkan lagi dengan kembalinya "battle hardened" veteran- veteran ISIS ke negara masing- masing apabila ISIS menemui kekalahan di timur tengah. Sekiranya militan- miltan ini menemui kekalahan di Marawi, tidak muystahil mereka akan mencari pangkalan baru di Malaysia atau Indonesia dan ini bakal menjadi satu ancaman yang cukup merbahaya. Bagi menangani penyusupan masuk dan keluar militan- militan, Malaysia dan Indonesia sedang bekerjasama dengan Filipina untuk menjalankan rondaan udara dan maritim di sepanjang sempadan ketiga- tiga negara di Laut Sulu. Selain daripada menjalankan rondaan bersama, Filipina, Indonesia dan Malaysia juga bersetuju untuk berkongsi maklumat perisikan dan menangani usaha- usaha pembiayaan militan. TUDM kini hanya mempunyai tiga buah pesawat rondaan maritim jenis Beechcraft B200T dan ianya tidak cukup untuk meronda kawasan laut negara yang cukup luas.

No photo description available.
Apa yang menarik dalam laporan Reuters adalah menurut sumber mereka di kementerian pertahanan, pesawat rondaan maritim yang mungkin menjadi pilihan adalah pesawat yang berasaskan pesawat komersial yang harganya lebih murah, berbanding pesawat yang direka khusus untuk kegunaan tentera. Sebanyak empat buah pesawat rondaan maritim yang lebih besar dan mempunyai jarak jangkauan operasi yang lebih jauh daripada pesawat rondaan maritim TUDM sekarang diperlukan dan pembelian akan cuba dibuat menjelang tahun 2020.
 
Tidak banyak pesawat rondaan maritim yang telah direka berasaskan pesawat komersil sekarang ini dan salah satu daripadanya adalah pesawat P-8 Poseidon. Pesawat rondaan maritim ini direka berasaskan pesawat penumpang Boeing 737-800ERX untuk memudahkan dan merendahkan lagi kos pembangunan dan kos pemilikannya. Pesawat Boeing 737 adalah salah satu pesawat penumpang yang paling popular di dunia dengan 9,571 buah berkhidmat di seluruh dunia dan 4,478 buah lagi telah dipesan dan masih dalam pembinaan. Meskipun dibangunkan daripada rekaan pesawat penumpang, P-8 telah direka untuk tujuan yang berbeza iaitu meronda lautan untuk mengesan dan memantau pergerakan kapal dan kapal selam yang bergerak di lautan yang luas. Rekabentuknya yang diwarisi daripada pesawat Boeing 737 memberikannya kestabilan dan keselesaan kepada krew ketika meronda dalam jangkamasa yang lama terutamanya ketika beroperasi di altitut yang rendah. Jangkauan operasinya sejauh 7,500 kilometer boleh dilanjutkan lagi dengan keupayaan pengisian minyak di udara.
 
No photo description available.
 
Salah satu aset utama Poseidon adalah pelbagai penderia yang dipasang padanya. Ini termasuklah radar bukaan sintetik pelbagai mod jenis APY-10, yang bukan sahaja dapat menjejaki kedudukan kapal yang beratus-ratus batu jauhnya, tetapi mempunyai mod resolusi tinggi yang dapat mengesan periskop kapal selam yang tiba- tiba muncul di permukaan laut yang bergelombang dan bahkan mengenal pasti kelas kapal yang berbeza. Satu penderia elektro-optik / inframerah MX-20 menyediakan pilihan pencarian secara visual pada jarak yang lebih dekat pendek, sementara ALQ-240 Electronic Support Measures (ESM) yang seperti yang digunakan pada pesawat EA-18G Growler, sangat berguna dalam mengesan kedudukan pemancar radar dan mengenalpasti jenisnya. Terkini adalah pemasangan radar Advanced Airborne Sensor. Radar ini adalah radar AESA yang menawarkan pengimbasan 360 darjah untuk mengesan sasaran di kawasan darat atau di pantai, dan yang mempunyai aplikasi yang berpotensi untuk dijadikan sebagai platform penyerakan elektronik bahkan cyberwarfare.
 
P-8 turut direka untuk mengesan kapal selam yang beroperasi di bawah permukaan. Sistem pelancar rotari yang dipasang pada bahagian belakang P-8 boleh melancarkan sonobouy untuk mengesan kehadiran kapal selam. Selain itui pesawat ini mempunyai penderia akustiknya sendiri, malah penderia hidrokarbon baru yang boleh "menghidu" untuk wap bahan api daripada kapal selam ketika ianya sedang beroperasi berdekatan dengan permukaan laut atau "snorkelling" sambil mengecas baterinya.
 
Biarpun dibangunkan daripada rekaan pesawat penumpang, Poseidon bukanlah hanya mampu memerhati semata- mata. Dalam peperangan, Poseidon boleh membawa lima peluru berpandu anti kapal depth charge ataupun torpedo di dalam pelancar rotari di bahagian belakang pesawat, dan enam lagi di bawah sayapnya. Selain itu, pesawat ini juga mampu untuk membawa peluru berpandu anti kapal AGM-84 Harpoon yang mempunyai jarak jangkauan sejauh 220 kilometer, ataupun AGM-184H / K dengan jarak 280 kilometer.
 
Pengguna terbesar P-8 pada ketika ini adalah US Navy yang bercadang untuk memiliki sehingga 117 buah pesawat. US Navy telah menggunakan pesawat P-8 untuk meronda kawasan- kawasan berisiko tinggi seperti di Laut China Selatan di mana kehadirannya tidak diringi oleh kerajaan China dan seringkali dipintas oleh pesawat pejuang J-11 China. Australia turut membeli 12 buah pesawat P-8 Poseidon, diikuti oleh UK sebanyak 9 buah, India 8 buah dan Norway 5 buah.
 
Sekiranya kerajaan Malaysia memilih untuk membeli pesawat P-8 Poseidon, ia adalah satu langkah yang baik kerana ia menawarkan keupayaan yang jauh lebih baik daripada pesawat rondaan maritim B200T Super King Air mahupun P-3 Orion. Disamping itu ia mempunyai jangkauan operasi yang jauh dan mampu meronda buat jangkamasa yang panjang serta dilengkapi dengan penderia yang membolehkannya mengawasi "battlespace" dalam tiga dimensi serta mempunyai keupayaan ofensif yang mantap. Disamping itu populariti pesawat penumpang Boeing 737 bakal memastikan alat ganti dan sokongan pengoperasian akan sentiasa ada dan pada harga yang murah buat jangkamasa yang lama. Pembelian P-8 Poseidon juga dijangka akan dibuat menerusi pembelian "G to G" tanpa melibatkan sebarang orang tengah dan ini akan memastikan tiada sebarang elemen pengambilan untung yang melampau. Peruntukan sebanyak USD$ 2 bilion yang dikhususkan untuk pembelian pesawat pejuang baru TUDM adalah dianggarkan mencukupi untuk membeli 4 buah pesawat P-8 Poseidon bersama sokongan, alatan ganti, latihan, persenjataan dan infrastruktur. Akan tetapi kos ini mungkin meningkat kerana kelemahan ringgit berbanding dolar dalam pasaran tukaran wang.
 
Adakah P-8 Poseidon akan dioperasikan oleh TUDM? sama- samalah kita nantikan.

Most Read